Friday, February 5, 2010

Kediaman milik PKNS raih permintaan tinggi

Kediaman milik PKNS raih permintaan tinggi

Lokman Abdul Kadir menunjukkan pelan projek Puncak Tropika dalam sidang akhbar projek Puncak Tropika yang dimiliki oleh PKNS.

SHAH ALAM 1 Jan. - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yakin projek perumahan yang dibangunkannya di negeri Selangor sepanjang tahun ini dan pada tahun depan laris dan masih mampu dibeli walaupun proses pemulihan ekonomi perlahan.

Malah, PKNS tetap optimis bahawa kediaman mewah yang dijual pada harga RM1.2 juta sebuah turut mendapat sambutan daripada pelanggan terutamanya golongan Bumiputera.

Pengurus Bahagian Jualan Hartanah Wilayah Utara Jabatan Kemajuan Shah Alam PKNS, Lokman Abdul Kadir berkata, para pembeli masih menaruh keyakinan terhadap projek-projek hartanah yang dibangunkan oleh PKNS.

Katanya, salah satu faktor yang merangsangkan penjualan hartanah milik PKNS adalah konsep bina dan jual yang dijalankan PKNS yang begitu 'mencuri' perhatian pembeli.

Menurutnya, pihaknya juga memahami trend pembeli pada waktu ini yang mahu segera memasuki kediaman selain mahu mengelak risiko projek terbengkalai.

"Setakat ini, projek di bawah PKNS tidak ada yang terbengkalai dan kami masih mengekalkan rekod baik tersebut.

"Kami dapati orang ramai yakin dengan konsep bina dan jual ini dan ia amat membantu jualan hartanah milik PKNS,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada pelancaran jualan kediaman teres tiga tingkat Puncak Tropika di sini baru-baru ini.

Kediaman Puncak Tropika dibina dalam unit terhad iaitu sebanyak 28 buah dan terletak di Seksyen 9 di sini.

Ia dijual pada harga serendah RM1.2 juta hingga RM1.5 juta sebuah.

Kediaman di Puncak Tropika mempunyai keluasan 3,680 kaki persegi untuk jenis A manakala 4,170 kaki persegi (jenis B) dan 3,170 kaki persegi untuk jenis C.

Pasaran sasaran bagi kediaman tersebut yang dibina sejak dua tahun lalu adalah untuk golongan berpendapatan tinggi.

Sementara itu, Lokman menambah, satu lagi tarikan projek PKNS adalah harga jualan yang ditawarkan PKNS masih di bawah paras harga pasaran semasa.

Katanya, kadar harga yang ditentukan amat berpatutan selain lokasi yang dipilih amat strategik dengan memikirkan kemudahan infrastruktur yang lengkap.

Ketika ditanya mengenai projek yang dijalankan PKNS sepanjang tahun ini, Lokman berkata, PKNS menjual rumah teres dua tingkat yang dinamakan Idaman Suraya (RM485,000 ke atas) di Seksyen 6 di sini pada April lalu.

Pada Julai lalu pula, PKNS melancarkan jualan projek Citra Seni di Seksyen 7 di sini dengan harga jualan RM890,000 ke atas.

Bermula bulan ini, PKNS melancarkan jualan projek kediaman Ayuqaseh di Alam Nusantara, Setia Alam di sini dengan harga jualan serendah RM335,000.

Ketika ditanya sama ada PKNS akan menjual kouta Bumiputera kepada bukan Bumiputera sekiranya jualan perlahan, Lokman berkata, PKNS tidak akan berbuat demikian berikutan permintaan di kalangan pembeli Bumiputera tetap tinggi.

Cuma, katanya, kouta kediaman sebanyak 30 peratus yang diperuntukkan kepada bukan Bumiputera habis dijual dalam tempoh sejam berbanding 60 peratus kouta untuk Bumiputera.

"Setakat ini, kami masih mempertahankan kouta tersebut dan yakin ia dapat dijual sepenuhnya,'' ujarnya.

Article from :http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm

No comments:

Post a Comment