Kediaman eksklusif Puncak Tropika


Kediaman eksklusif Puncak Tropika

Rumah berkembar tiga tingkat yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam dijual pada harga minimum RM1.2 juta hingga maksimum RM1.5 juta.



PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sentiasa komited dalam membangunkan projek-projek perumahan di seluruh negeri. Sama ada kediaman bertaraf rumah murah, kos sederhana mahupun mewah, semuanya berjaya dilaksanakan dengan baik.
Tambahan pula, sehingga kini projek perumahan PKNS yang dilaksanakan tidak pernah terbengkalai dan situasi sedemikian sememangnya satu perkembangan baik.
Ini kerana, jika terbengkalai, ia menyebabkan pembeli kerugian kerana rumah tidak dapat diduduki sedangkan pembayaran kepada bank telah dibuat.
Rekod cemerlang itu menyebabkan PKNS sering menjadi pilihan masyarakat jika mahu memiliki aset atau hartanah berupa kediaman yang menjadi impian setiap individu.
Terbaru, PKNS melancarkan projek kediaman eksklusif Puncak Tropika yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam. Rumah berkembar tiga tingkat itu menerapkan seni bina moden kontemporari yang mampu menarik perhatian pembeli.
Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Mohd. Wazir Abdul Ghani berkata, kediaman mewah itu dibina dalam unit terhad iaitu hanya 28 buah rumah.
"Bagi kediaman jenis A yang terdiri daripada 10 unit rumah, ia meliputi kawasan seluas 297 meter persegi, manakala jenis B sebanyak enam unit (396 meter persegi) dan jenis C (357 meter persegi) pula dibina untuk 12 unit.
"Kediaman tersebut mempunyai enam bilik tidur dan lima bilik air. Cukup selesa untuk mereka yang berkeluarga besar," jelas Wazir ketika ditemui Kosmo! di pejabat jualan hartanah PKNS di Shah Alam baru-baru ini.
Tambah beliau, konsep rekaan untuk kediaman tersebut mengikut cita rasa pelanggan masa kini. Malah, ia turut diilhamkan oleh kakitangan PKNS yang telah berkhidmat lebih daripada 20 tahun bersama perbadanan milik kerajaan negeri itu.

BILIK utama yang luas dengan sentuhan dekorasi dalaman moden memberi keselesaan kepada pemilik.


Boleh dikatakan ia hampir sama seperti rumah berkembar (semi-D) yang sering mendapat permintaan tinggi di kalangan pembeli. Cuma, rumah ini didirikan setinggi tiga tingkat sekali gus kelihatan mewah dan eksklusif.
Menurut Wazir lagi, Puncak Tropika merupakan antara projek perumahan terakhir PKNS di Shah Alam.
Namun, untuk tempoh beberapa tahun akan datang, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa PKNS akan terus melaksanakan beberapa projek pembinaan rumah di bandar raya itu mengikut kesesuaian.
"Ini kerana berdasarkan pelan induk PKNS pada tahun 2009, sejumlah 30 peratus daripada penggunaan tanah di kawasan Selangor diperuntukkan untuk pembangunan perumahan.
"Kuota yang diperuntukkan PKNS untuk hak milik kekal bumiputra adalah 70 peratus dan bukan bumiputra 30 peratus," katanya.
Dalam pada itu, dengan konsep bina dan jual yang diamalkan, PKNS yakin dapat menjual kesemua unit yang ditawarkan walaupun ketika ini pertumbuhan ekonomi di Malaysia masih perlahan.
"Setakat ini kami sudah mempunyai enam pembeli sewaktu pelancaran hartanah mewah itu pada pertengahan November lalu dan percaya jumlah pembeli akan meningkat.
"Selain itu, faktor lokasi yang strategik serta pinjaman bank yang mudah membuatkan pembeli senang berurusan dengan kami," ujarnya sambil tersenyum.
Satu lagi keistimewaan projek PKNS adalah harga jualan yang ditawarkan masih di bawah paras harga pasaran semasa.
Beritahu Wazir, kadar harga yang ditentukan amat berpatutan selain lokasi yang dipilih amat strategik dengan memikirkan kemudahan infrastruktur yang lengkap.
"Bayangkan harga rumah yang kami bina walaupun selepas tiga tahun didiami masih lagi sama terutama jika ada pembeli baru yang berminat untuk memilikinya.
"Inilah salah satu tarikan yang boleh didapati menerusi projek kediaman di bawah kendalian PKNS," tambahnya.
Secara keseluruhan, Nilai Kasar Domestik (GDV) untuk projek Puncak Tropika bernilai RM34.5 juta dan ia dijangka siap sepenuhnya pada bulan April 2010.


Articles from : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Urban&pg=ur_02.htm